Sunday, December 16, 2012

Sukatan Pelajaran dan peranannya


1.Konsep Sukatan Pelajaran

Menurut Mok Soon Sang, sukatan pelajaran merupakan suatu rancangan pelajaran berkaitan dengan suatu matapelajaran tertentu. Sukatan mata pelajaran ini biasanya mengandungi beberapa perkara yang penting seperti unit pembelajaran, objektif-objektif dan kemahiran-kemahiran yang disusun mengikut tahap atau darjah (dalam kelas KBSR) atau tingkatan (dalam kelas KBSM). Semua perkara tersebut dihuraikan secara terperinci dalam sebuah Buku Panduan Khas untuk digunakan oleh guru sebagai panduan asas semasa menyediakan rancangan kerjanya (Mok Soon Sang, 2010).

Manakala menurut Tan Chee Yee, sukatan pelajaran merupakan dokumen utama dan rasmi yang menerangkan perancangan pengajaran dan pembelajaran sesuatu matapelajaran. Ia mengandungi butir-butir ringkas tentang mata pelajaran yang diajar kepada murid-murid di sekolah. Sukatan mata pelajaran menjadi asas pengajaran di sekolah. Di Amerika Syarikat dan Kanada, sekolah mempunyai hak dan kebebasan untuk membentuk sukatan pelajaran sendiri dengan mengimbangkan perkara-perkara seperti soal sosial, budaya, keperluan dan lain-lain. Di negara kita, sukatan pelajaran bagi setiap mata pelajaran untuk semua darjah atau tahun di sekolah rendah dan menengah disediakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum. Jadi, di Malaysia semua sekolah rendah dan menengah mempunyai satu sukatan pelajaran bersama. Dengan menggunakan sukatan mata pelajaran bersama  dan dengan mengadakan kawalan dan peneyeliaan yang dibuat oleh Jemaah Nazir, peperiksaan berpusat dan Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya, Kementerian Pendidikan menjamin kualiti pendidikan yang disampaikan kepada murid-murid di sekolah. Disamping itu juga Kementerian Pendidikan menyamakan isi kandungan pengajaran dan pembelajaran untuk semua murid di seluruh negara.

Perkara-perkara tersebut diterangkan dengan teliti dari segi kesesuaian, peringkat pembelajaran dan keperluan individu dan masyarakat. Sebelum seseorang guru mula mengajar sesuatu mata pelajaran, dia mesti mengkaji dan menganalisis sukatan pelajaran yang berkenaan dengan teliti dan mendalam. Soalan-soalan yang harus dipersoalkan terhadap sesuatu sukatan pelajaran disenaraikan berikut:
  •      Apakah objektif-objektif pelajaran itu?
  •       Berapakah topik pelajaran telah disusun dalam sukatan pelajaran?
  •      Berapakah jumlah waktu sesuatu mata pelajaran itu dalam seminggu?
  •     Dapatkah sesuatu mata pelajaran diajar dan dipelajari oleh murid yang berkebolehan sederhana dan lambat dalam darjah tersebut?
  •      Adakah topik-topik ini paling sesuai untuk darjah ini dan bukan untuk darjah lain?
  •       Adakah murid-murid mempunyai pengetahuan sedia ada untuk pembelajaran topik-topik ini?
  •      Apakah strategi  yang sesuai dan berkesan untuk mengajar topik-topik ini?
  •     Adakah topik-topik ini berkaitan dengan alam sekitar murid dan sekolah?
  •     Adakah ia berkaitan dengan mata pelajaran lain yang sedang dipelajari oleh murid?
  •      Adakah tajuk-tajuk ini meluaskan pengalaman dan kefahaman murid?
  •      Bolehkah tajuk pengajaran habis diajar dalam masa peruntukan?
  •       Bagaimana dan siapakah akan menyusun rancangan kerja?
  •       Buku teks apakah yang digunakan berdasarkan sukatan pelajaran?

Adalah baik dan perlu guru-guru yang mengajar matapelajaran yang sama berbincang dalam kumpulan tentang segala soalan yang ditimbulkan. Jawatankuasa matapelajaran harus di tubuh dibawah pimpinan seorang guru kanan (Tan Chee Yee, 1988).


2 Peranan Sukatan Pelajaran Subjek Bahasa Melayu KBSR

Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum bertujuan menyatupadukan elemen terkini dalam pendidikan, memenuhi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menyediakan murid untuk menghadapi cabaran pendidikan pada abad 21. Kurikulum yang disemak semula memberikan penekanan kepada nilai murni dan semangat patriotik bagi menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu. Murid dididik untuk berfikir, berilmu pengetahuan luas, beretika tinggi,bijaksana, serta dapat menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berkesan. Diharapkan kurikulum ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan tabah mengatasi segala rintangan dan cabaran dalam kehidupan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar utama, dan merupakan matapelajaran teras yang wajib dipelajari di peringkat sekolah rendah. Mata pelajaran ini bertujuan melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi selaras dengan peranannya sebagai bahasa ilmu. Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah merangkumi penggunaan bahasa yang menekankan kemahiran bahasa berteraskan bahasa Melayu baku.

Kurikulum Bahasa Melayu digubal bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan murid untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dan dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat. Selain itu, murid mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada matapelajaran yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah memberikan tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi.

Sukatan pelajaran ini juga memberikan pertimbangan kepada pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza di kalangan murid. Aktiviti kokurikulum Bahasa Melayu yang dijalankan di luar waktu sekolah adalah penting sebagai sokongan bagi memantapkan kemahiran berbahasa murid.

Sukatan Pelajaran memberikan gambaran menyeluruh tentang kurikulum Bahasa Melayu. Sukatan Pelajaran ini mengandung matlamat, objektif, dan organisasi kandungan. Organisasi kandungan merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2003).



1 comment:

  1. adakah sukatan pelajaran membawa maksud yang sama dengan dokumen standard kurikulum dan pentaksiran? atau adakah kedua-duanya berlainan?

    ReplyDelete