Sunday, December 16, 2012

Dokumen Standard Kurikulum dan kepentingannya


Pendidikan formal sekolah rendah bermula dengan pelaksanaan Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang diperkenalkan semenjak negara kita mencapai kemerdekaan. KLSR telah ditukarkan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah pada tahun 1983 dan kemudiannya implikasi keperluan kesepaduan dalam konten matapelajaran, sekali lagi beberapa pindaan dalam Akta Pendidikan dibuat menyebabkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah diubah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Terkini KBSR secara berperingkat-peringkat ditukarkan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula sesi persekolahan pada Januari 2011 yang diperkenalkan kepada murid-murid tahun satu.



KSSR diketengahkan dalam bentuk modular yang mana kandungan pembelajaran disediakan berbentuk unit kendiri lengkap yang dinamakan modul. Setiap unit adalah tersendiri dan mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sudah dikenalpasti untuk dikuasai oleh murid. Bagi tahap 1, kandungan kurikulum disusun dalam Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif manakala tahap 2 dalam bentuk matapelajaran teras dan elektif. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, isi kandungan pembelajaran memiliki standard tertentu yang perlu dicapai oleh setiap pelajar. Pencapaian itu boleh diukur menggunakan sistem penilaian yang telah disediakan iaitu Dokumen Standard Prestasi. Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang murid dalam sesuatu topik yang telah dipelajari dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras yang telah dikenalpasti.

KSSR digubalkan berasaskan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran dimana standard ini merupakan Dokumen Standard Kurikulum yang menggantikan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran. Standard Kurikulum merupakan pernyataan standard tentang apa yang murid patut tahu dan boleh buat seperti yang terkandung dalam KSSR. Standard Kandungan ialah pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Manakala Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap Standard Kandungan. Penekanan adalah eleman yang berorientasikan kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi.
 
Standard Kandungan yang terkandung di dalam Dokumen Standard Kurikulum adalah bersifat jangka masa panjang. Standard ini menekankan aspek yang menyeluruh untuk mencapai objektif pembelajaran matapelajaran tersebut. Contoh Standard Kandungan yang terkandung di dalam matapelajaran Matematik Tahun Dua ialah:
1.      Murid dibimbing untuk menama dan menentukan nilai nombor.
2.      Murid dibimbing untuk menulis nombor.
3.      Murid dibimbing untuk melengkapkan sebarang rangkaian nombor.

Daripada contoh yang dikemukan diatas, dapat disimpulkan bahawa Standard Kandungan lebih menjurus kepada peranan guru dalam mengelola murid-murid agar mencapai objektif yang ditentukan oleh Standard Kandungan. Bagi Standard Pembelajaran pula lebih menjurus kepada murid dimana proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas perlu diukur diakhirnya. Selain itu, standard ini adalah bersifat jangka masa pendek dimana pada akhir pembelajaran,murid-murid mampu menguasai objektif yang terkandung didalam standard pembelajaran tersebut. Sebagai contoh standard pembelajaran untuk subjek Matematik Tahun Dua ialah :
1.      Menamakan nilai nomnbor hingga 1000:
a)      Membaca sebarang nombor yang diberi dengan perkataan.
b)      Menyebut sebarang nombor yang diberi dalam bentuk angka.
c)      Memadan angka dengan namanya dalam perkataan

Daripada contoh yang telah dikemukakan diatas, dapat disimpulkan bahawa Dokumen Standard Kurikulum ini mempunyai kepentingan di dalam sistem pendidikan pada hari ini. Antara kepentingan yang diperolehi dengan termaktubnya Kurikulum Standard Sekolah Rendah ini ialah :
1.        Guru memahami dengan lebih jelas objektif yang ingin dicapai dalam sesuatu topik
·      Dengan adanya Dokumen Standard yang terdiri daripada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran serta modul pengajaran yang turut disediakan sebagai panduan untuk guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Modul Pembelajaran adalah untuk bahan pembelajaran untuk murid untuk menggantikan buku teks. Modul ini akan menjadi rujukan guru sejauh mana tahap yang perlu dikuasai oleh setiap murid dan guru tidak akan tersasar dari objektif yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.
2.        Meningkatkan kredibiliti guru
·           Sistem penilaian peringkat sekolah yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran Malaysia menggantikan kaedah peperiksaan yang dilaksanakan untuk murid sebelum ini mampu meningkatkan kredibiliti seseorang guru. Ini kerana pentaksiran berasaskan sekolah memberi hak 100% kepada guru untuk menilai murid-murid semasa di dalam bilik darjah. Penilaian  sebanyak 60% oleh guru dan 40% markah peperiksaan peringkat pusat akan diambil kira dalam memberikan murid gred sebagai keputusan yang menentukan hala tuju murid tersebut. Penilaian peringkat sekolah membolehkan guru menilai prestasi serta membimbing murid tersebut untuk memberikan yang terbaik sepanjang proses pembelajaran di dalam bilik darjah.

3.        Memastikan murid melepasi standard yang ditetapkan
·         Guru boleh menyediakan instrumen berdasarkan Dokumen Standard Prestasi yang dibekalkan oleh Lembaga Peperiksaan. Di dalam Dokumen Standard Prestasi ini, terdapat band yang merangkumi band 1 hingga band 6. Kebaikan dilaksanakan penilaian berasaskan sekolah adalah untuk murid yang berada pada aras lemah kerana guru boleh mempelbagaikan instrument bergantung pada tahap murid. Tidak semestinya satu instrument untuk keseluruhan kelas yang diajar. Guru mempunyai target untuk setiap murid bagi mencapai band yang telah diharapkan. Apabila murid tersebut tidak mencapai band yang diharapkan maka guru boleh menukar instrument yang baru tetapi masih lagi berlandaskan Dokumen Standard Prestasi tersebut. Selain itu, guru perlu terbuka dalam menilai pencapaian murid kerana setiap individu itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang dapat dilihat guru.

4.        Mengenalpasti strategi penambahbaikan
·         Dokumen Standard Kurikulum yang ada di dalam KSSR adalah usaha menyusun semula pelan menambahbaik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa. KSSR ini juga dapat menangani isu pendidikan seperti kepadatan jadual waktu, bilangan matapelajaran yang banyak serta keterlaluan. Justeru, pendekatan sebegini memberi penegasan kepada pelaksanaan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah bagi menjadikan proses P&P di dalam kelas menjadi lebih menyeronokkan dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Murid juga digalakkan meningkatkan pembabitan dalam aktiviti kurikulum di bilik darjah serta kokurikulum di luar bilik darjah. Selain itu, penambahan  elemen kreativiti dan inovasi di dalam kurikulum, corak pengajaran dan proses pembelajaran serta sistem penilaian perlu diterapkan dalam pendidikan negara bagi menghasilkan modal insan yang berdaya saing. Guru juga boleh menerapkan kemahiran asas ICT di dalam proses pengajaran kerana kemahiran ini termasuk dalam modul KSSR.

5.      Mengatasi masalah keciciran murid
·         Melalui pendekatan modul pembelajaran untuk murid menggantikan buku teks, setiap sesi pengajaran akan berupaya mewujudkan fokus kepada sesuatu kemahiran utama dengan mengintegrasikan kemahiran lain secara menyeluruh. Selain itu juga,dengan menggunakan Dokumen Standard  Prestasi yang ada akan menyebabkan guru memainkan peranan yang bersepadu untuk semua muridnya. Setiap murid perlu ditaksir oleh guru secara individu dan ini menyebabkan tidak akan timbul masalah murid tercicir. Tidak seperti kurikulum yang digunakan sebelum ini yang mana tiada pentaksiran yang berterusan dilakukan oleh guru, hanya bergantung kepada peperiksaan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

 
Oleh yang demikian, perubahan dalam arus globalisasi memerlukan perubahan yang seimbang dengan kurikulum pendidikan di negara ini agar murid-murid yang menjadi pelapis generasi akan datang tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dunia.

No comments:

Post a Comment